May 14, 2016

Ibu Ajarku Jawi

Nak ajar anak pandai baca Jawi? Buku Ibu Ajarku Jawi adalah antara buku terbaik yang boleh dijadikan asas untuk ajar anak-anak kita membaca Jawi.
 
 
Buku ini menggunakan pendekatan suku kata, yang mana anak-anak akan diajar untuk membaca suku kata. Dan daripada gabungan suku kata membentuk perkataan yang mudah. Daripada gabungan perkataan pula terhasil ayat dan cerita yang ringkas.


Penerbit buku ini adalah ZBA Media. Set buku ini mengandungi 7 buah buku yang bersaiz sepeti buku Bacalah Anakku dan Read Easy. Set buku ini berharga sekitar RM33. Saya beli buku ni di kedai buku online. Saya juga ada ternampak buku ni di kedai buku Pustaka Rakyat. Dan rasanya kedai-kedai buku yang lain juga ada terdapat buku ni. 
 
Bagusnya buku ni sebab selain perkataan Jawi yang mudah, ada juga ilustrasi menarik. Kandungan dan tulisan juga berwarna. Jadinya anak-anak In shaa Allah lebih tertarik untuk terus baca buku ni.


Di dalam buku 1, anak-anak akan diajar huruf-huruf jawi yang membentuk bunyi a.. i.. u... Seterusnya anak-anak diperkenalkan dengan huruf nun. Dan melalui gabungan huruf nun dengan a.. (Alif) i.. (Alif, Ya) u.. (Alif, Wau), anak-anak akan membentuk suku kata na..ni..nu... Kemudian daripada suku kata tersebut, anak-anak diajar membaca perkataan-perkataan Jawi yang mudah. Dan di akhir buku, anak-anak akan diajar membaca ayat yang ringkas. Konsep yang sama diguna di dalam buku ke 2 hingga 7 dengan menggunakan binaan suku kata yang lain pula.


Ada juga suku kata yang tidak diperkenalkan dalam buku ini. Ini kerana suku kata-suku kata tersebut adalah jarang digunakan, jadi penulis buku berpendapat pengenalan kepada suku kata yang biasa digunakan sahaja akan lebih memudahkan anak-anak untuk menguasai bahasa Jawi. Seperti yang saya tulis, buku ini adalah asas, maka bunyi vokal yang diperkenalkan juga terhad kepada a.. i.. dan u.. yang membentuk suku kata ba.. bi... bu.., na..ni..nu.. dan lain-lain. Namun In shaa Allah, dengan menjadikan buku ini sebagai asas permulaan, anak-anak pasti boleh menguasai bahasa Jawi dengan lebih baik nanti.

No comments:

Post a Comment