Buku yang berjudul Pantas Membaca ini menggunakan pendekatan fonemik untuk mengajar anak-anak membaca. Diterbitkan oleh Early Learner Publication Sdn Bhd dan diedarkan oleh Edukid Distributors Sdn Bhd. Harga sebuah buku ialah RM27.90 dan boleh didapati di MPH. Kalau nak beli online pun boleh di www.edukidbooks.com.
Jika buku Bacalah Anakku mengandungi 8 buah buku, buku ni pula hanya sebuah tetapi dibahagikan kepada 8 pelajaran. Kiranya macam ada 8 buku jugak la yang digabungkan menjadi satu. Seperti buku fonik Bacalah Anakku, buku ini juga dimulakan dengan memperkenalkan bunyi huruf-huruf vokal. Sekali lagi diingatkan, jika ibu bapa atau pengajar nak ajar anak membaca mengguna kaedah fonik, pastikan kita terlebih dahulu faham konsep fonik. Iaitu dengan kata yang mudah, ajar anak bunyi huruf bukan ajar huruf.
Berbeza dengan Bacalah Anakku yang hanya memperkenalkan vokal a,i,u pada awalnya, buku ni pulak memperkenalkan kesemua vokal a,i,u,e,o,e sekaligus. Anak-anak perlu diajar bagaimana untuk menyebut huruf vokal ni. Anak-anak akan ditunjukkan terlebih dahulu perkataan dengan gambar yang bermula dengan huruf vokal yang berkenaan. Sebagai contoh bagi vokal a yang berbunyi a.. anak-anak akan ditunjukkan perkataan dengan gambar api, awan dan ayah.
Yang berbezanya juga buku ni dengan Bacalah Anakku ialah, buku ni turut memperkenalkan penggunaan huruf besar (capital letter) dari awal lagi. Sebaliknya, buku Bacalah Anakku hanya memperkenalkan huruf-huruf kecil (small letters) sahaja di peringkat awal.
Seterusnya, anak-anak akan diajar bagaimana untuk menggabungkan bunyi a..,i..,u.. dengan bunyi huruf-huruf lain secara berperingkat iaitu bermula ba, bi, bu diikuti ka, ki, ku kemudiannya sa, si, su dan seterusnya.
Untuk setiap bunyi itu, gambar yang berkaitan akan ditunjukkan. Sebagai contoh, bagi bunyi ba, bi, bu akan ditunjukkan gambar baju, buku dan biri-biri. Contoh lain, untuk bunyi ta, ti, tu akan ditunjukkan gambar tali, titi, tiga dan tupai.
Anak-anak seterusnya akan diajar untuk membaca ayat-ayat yang mudah dan ringkas yang mempunyai dua suku kata sahaja.
Di peringkat seterusnya anak-anak akan mula diajar untuk meggabungkan bunyi tiga huruf pula seperti ban, kan, jam, kok, muk dan lain-lain untuk membentuk perkataan seperti masuk, gemuk, pokok dan lain-lain. Dan seterusnya gabungan empat huruf iaitu sang, bang, kung, ceng, reng dan sebagainya untuk membentuk perkataan loceng, lemang, bangku dan banyak lagi.
Ayat-ayat serta jalan cerita juga semakin panjang. ini untuk melatih anak-anak agar dapat menguasai pembacaan dengan baik.
Buku ini memang boleh dijadikan alat bantuan mengajar yang baik untuk ajar anak-anak membaca. Buku ni jugak sebenarnya dilengkapi dengan satu vcd yang boleh digunakan untuk anak-anak memahami apakah konsep fonik dan bagaimana menyebut bunyi sesuatu huruf serta gabungan bunyi dua atau lebih huruf.
Saya sendiri sebenarnya beli buku ni sebagai bacaan alternatif untuk anak-anak. Kerana taknak anak-anak cepat bosan jika satu buku saja. Dan saya rasa buku ni memang sesuai sebab konsep yang lebih kurang sama dengan buku Bacalah Anakku. Memandangkan anak-anak dah terbiasa dengan sistem Bacalah Anakku, jadi rasanya buku ni memang sesuai sebagai alternatif kerana menggunapakai sistem yang sama.
No comments:
Post a Comment