Entah macamana tergerak di hati saya untuk ajar anak bahasa Arab. Walaupun jika diikutkan saya memang langsung tak ada basic knowledge tentang bahasa Arab. Adalah belajar sikit-sikit masa sekolah dulu. Tapi dah lama sangat dah. Memang langsung tak ingat apa dah. Setakat mengira tu boleh la. Itu pun sampai nombor lima je kot.
Disebabkan saya memang dah biasa dengan buku terbitan ReadNetwork seperti Bacalah Anakku dan Read Easy, jadi dari situ saya tahu bahawa penerbit yang sama ada juga mengeluarkan buku untuk anak-anak belajar bahasa Arab. Iaitu siri buku lughatul jannah.
Pada mulanya, tidak lah saya yakin untuk menggunakan buku ni. Sebabnya, seperti yang saya katakan tadi, basic knowlegde bahasa Arab pun saya tak ada. Boleh ke saya nak ajar anak bahasa Arab? Tapi, disebabkan tekad dan keinginan yang kuat, saya beli jugak la buku ni.
Untuk set buku ni yang mempunyai 4 buah buku dan 1 vcd harganya cuma RM24.90. Saya beli buku ni kedai buku Pustaka Rakyat. Buku adalah terbitan ReadNetwork dan penyusun buku adalah Tuan Jalaluddin Haji Hassan Al-Baghdadi.
Untuk buku 1, anak-anak akan diajar dengan perkatan-perkataan Arab yang biasa dalam kehidupan harian anak-anak kita. Contoh seperti pensel, pemadam, beg, mainan, kasut, sekolah, padang dan lain-lain. Saya boleh katakan buku 1 ni lebih kurang macam kamus bergambar bahasa Arab. Seronoknya buku 1 ni sebab ada ilustrasi yang menarik juga. Jadi anak-anak akan lebih mudah untuk mengingat makna perkataan tu. Bukan anak-anak je, mak anak pun seronok menghafal perkataan-perkataan Arab tu.
Adalah digalakkan untuk kita mempraktikan penggunaan perkataan yang kita pelajari pada hari tu. Saya sendiri bila ajar anak-anak, akan bermain teka kata bahasa Arab. Saya akan sebut perkataan dalam bahasa Melayu atau English manakala anak akan terjemah ke bahasa Arab. Dan setiap kali saya jumpa benda yang telah saya pelajari bahasa Arabnya, maka saya akan menunjukkan benda tu dan menyebut perkataan Arabnya. Contoh, sambil tunjuk beg sekolah anak saya akan kata haqibatun, sambil tunjuk kasut anak saya akan sebut hiza'un dan lain-lain. Sebenarnya, bukan anak je yang belajar, mak pun seronok belajar perkataan Arab ni.
Untuk buku 2 pula, penggunaan perkataan haza (ini) dan hazihi (ini) diperkenalkan. Untuk yang memang tahu Arab, pasti akan faham bagaimana untuk menggabungkan perkataan haza dan hazihi ni dengan perkataan lain. Contoh, haza kitabun (ini buku) dan hazihi haqibatun (ini beg). Hazihi diguna untuk menunjukkan perkataan yang berakhir dengan huruf ta marbutoh. Contohnya, hazihi haqibatun (ini beg), hazihi madrasatun (ini sekolah), hazihi lu'batun (ini mainan), hazihi kurotun (bola) dan lain-lain. Manakala haza pula diguna untuk perkataan yang tidak berakhir dengan ta marbutoh. Contohnya haza kitabun (ini buku), haza saubun (ini baju), haza syajarun (ini pokok) dan lain-lain.
Untuk buku 3 pula, huruf jar seperti 'ala (di atas) dan tahta (di bawah) dan lain-lain diperkenalkan. Penggunaan perkataan tersebut di dalam ayat juga ditunjukkan. Iaitu bagi kata nama yang mana huruf sebelumnya adalah huruf jar, kata nama tersebut akan berbaris bawah. Contohnya mindodatun (meja) akan bertukar menjadi mindodati. Contoh ayat adalah kitabun 'alal mindodati (buku di atas meja). Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang ditunjukkan.
Saya sendiri pun sebenarnya banyak bertanya pada kawan yang mahir bahasa Arab tentang ayat-ayat dalam bahasa Arab ni. Alhamdulillah setakat ni, agak mudah untuk saya faham bahasa Arab ni. Ditambah pula dengan bantuan buku lughatul jannah ni.
Untuk buku 4 pulak, kata perbuatan akan diperkenalkan serta bagaimana hendak menggabungkan kata perbuatan tersebut di dalam ayat. Contoh kata perbuatan yang diperkenalkan di dalam buku ini adalah yajlisu/tajlisu (duduk), yajri/takri (berlari) dan banyak lagi. Kata nama akan berbaris atas sekiranya perkataan sebelumnya adalah kata perbuatan. Contoh haqibatun akan menjadi haqibata. Contoh ayat adalah fatimatun tahmilul haqibata (fatimah membawa beg). Untuk lelaki pulak 'Aliyyun yahmilul haqibata (Ali membawa beg). Terdapat juga perbezaan bagi penggunaan kata perbuatan untuk lelaki dan perempuan yang mana untuk lelaki yahmilu dan perempuan tahmilu (membawa). Contoh kata perbuatan lain, ta'kulu (makan- bagi perempuan); ya'kulu (makan- bagi lelaki). Bezanya pada ta dan ya tu. Boleh tanya pada yang lebih arif untuk lebih faham. Saya hanya boleh ajar sikit-sikit je yang mana saya faham. Sebab saya sendiri pun bukan tahu sangat bahasa Arab ni.
Seperti yang saya tekankan tadi, bagi ibu bapa yang tidak mahir bahasa Arab, adalah perlu untuk membuat rujukan kepada yang lebih tahu supaya boleh menggunakan buku ini dengan lebih berkesan lagi untuk ajar anak-anak konsep yang betul dalam bahasa Arab. Walaubagaimanapun, set buku ni memang sangat berguna untuk belajar dan mengajar bahasa Arab.
No comments:
Post a Comment